“Sungguh! Hati itu anugerah terindah dari Ar-Rahman pada makhluk yg bernama manusia. Bagi insan hina seperti aku, yang banyak jahil dari tahu, yang banyak alpa dari peka, hanya satu pintaku Ya Allah - Andai esok tiada lagi, biarlah aku pulang dengan hati yang bersih…”
Bila hati terluka, sakitnya hanya yang merasa mampu menghurai. Lagi sanggup menahan hirisan pisau di tangan dari merasa luluh hati terguris. Mengapa hati ini yang perlu merasa itu semua? Sedangkan diri sentiasa berpegang pada prinsip, jaga hati saudaramu. Jangan lukakan hati saudaramu…Apakah itu balasan yang perlu ditanggung dengan berpegang teguh pada prinsip teguh ini? Pemikiran apakah yang sedang menguasai? Hindarilah diri dari hasutan Syaitan yang di rejam…
Ya Allah, andai kesakitan ini mampu menghapuskan dosa-dosa hamba yang lalu, maka hamba redha dengan ujian ini…
Mengapa hati terluka? Mungkin kerana dikhianati? Mungkin kerana penantian yang tiada cerita akhirnya? Mungkin kerana gagal mendapatkan apa yang dipohon? Atau mungkin kerana tiada daya untuk memilih? Diri hanya punya satu pilihan…menanggung pedih, bukan meluahkan…
Bila diri tidak mampu mengeluarkan apa yang terbuku di hati, maka hati sengsara lagi. Hati perlu menanggung beban terbuku tanpa ada keberanian untuk meleburkannya. Hati yang perlu menahan gundah akibat tiada semangat dan kekuatan untuk memberitahu pada dunia. Mengapa diri hilang semangat? Mengapa diri tiada kekuatan? Mengapa diri tiada keberanian? Diri hanya mampu berserah…tawakkal dengan harapan, jihad ini diterimaNya.
*tabahkan hatiku Ya Allah...agar menjadi tabah dan kuat.
No comments:
Post a Comment